Tuesday, 31 May 2011

Cairkan Harta Beku

KENYATAAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khaled Nordin bahawa terdapat kes harta pusaka dengan nilai mencecah RM38 bilion masih lagi tertunggak seharusnya tidak dipandang sepi. Ia lebih menyentuh hati memandangkan kebanyakan daripada kes tersebut membabitkan harta pusaka orang-orang Melayu.


Mengikut statistik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, terdapat lebih enam juta hak milik tanah yang ada di negara kita. Dianggarkan lebih 1 juta hak milik tanah tersebut adalah milik orang yang telah mati dan masih lagi belum dibuat permohonan harta pusaka untuk diturun milik kepada ahli waris yang layak.

Angka tersebut membuktikan bahawa masih terdapat banyak lagi hartanah yang pemiliknya meninggal dunia dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Kesannya, maka banyaklah tanah-tanah milik orang Melayu yang tidak dapat dimanfaatkan.

Malahan terdapat tanah pusaka yang terletak di kawasan yang begitu strategik tetapi tidak dapat dibangunkan memandangkan tanah itu mempunyai bilangan ahli waris yang menjangkau kepada lebih seratus orang.

Lebih meruncing lagi ahli-ahli waris itu pula tidak mengenali antara satu sama yang lain bagi membincangkan masa depan tanah pusaka tersebut.

Akhirnya, hartanah itu akan terus tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara dan tidak lagi mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan.

Harta walau dalam bentuk apa sekali pun merupakan satu elemen penting dalam kehidupan manusia. Kita sanggup bekerja berhempas pulas siang dan malam memerah keringat demi mendapatkan harta benda yang ada di muka bumi ini.

Tidak kurang juga mereka menempuh jalan-jalan tidak halal hingga sanggup bermusuhan dan berbunuhan demi mendapatkan apa yang mereka anggap sebagai nikmat dunia.

Sebagai umat terbaik yang dipilih oleh Allah s.w.t, umat Islam seharusnya memastikan hal-hal berkaitan harta pusaka menjadi sumber untuk merapatkan hubungan ahli keluarga selepas berlakunya kematian dan bukan sumber untuk menjadi bahan pertelingkahan sebagaimana yang berlaku dewasa ini.

Berdasarkan pengalaman penulis sebagai pengamal undang-undang terdapat empat punca utama berlakunya masalah harta pusaka di kalangan orang Melayu:

Pertamanya, bukanlah menjadi rahsia di kalangan keluarga Melayu sama ada di bandar atau di desa untuk berhadapan dengan masalah geran tanah yang tidak boleh diturun milik akibat daripada masalah kematian berlapis.

Contohnya, pemilik asal hartanah itu seorang bapa kemudian si bapa itu meninggal dunia meninggalkan lima orang anak. Belum sempat harta itu dibahagikan kepada lima orang anak tadi, dua daripadanya pula meninggal dunia menyebabkan bagi satu geran tanah terdapat tiga atau lebih permohonan harta pusaka yang perlu dibuat.

Proses pembahagian pusaka akan menjadi lebih meruncing jika waris-waris yang ditinggalkan tidak sehaluan menyebabkan wujud masalah pertelingkahan keluarga.

Menjadi semacam satu kepantangan dalam masyarakat Melayu untuk membuat pembahagian harta pusaka sebaik sahaja berlaku kematian.

Sebagai contoh jika si bapa meninggal dunia di sebelah pagi, jarang sekali ahli waris yang akan berbicara berkaitan harta pusaka si bapa pada majlis kenduri arwah yang diadakan pada sebelah malamnya.

Alasannya mudah, waris yang ingin membahagikan harta pusaka dengan cepat akan dianggap sebagai tamakkan harta atau gilakan kekayaan. Malahan ada pula di kalangan ahli waris yang secara sinis mendakwa kubur ayah masih merah dah nak berbicara berkaitan harta pusaka.

Adakah pantang ini masih perlu diteruskan oleh masyarakat Melayu atau benarkah harta pusaka hanya boleh dibahagikan selepas 40 hari atau 100 hari atau beberapa tahun?

Rujukan kepada Ayat 11 Surah An Nisa dengan jelas menyatakan yang mafhumnya selepas diselesaikan bahagian wasiat hendaklah diselesaikan bahagian hutang dan kemudiannya dibahagikan mengikut faraid.

Maknanya, sebaik berlaku kematian ahli-ahli waris hendaklah dengan segera memastikan apakah harta peninggalan si mati dan kemudiannya menentukan apakah hutang-hutang yang perlu dijelaskan oleh si mati sama ada hutang itu pada Allah seperti zakat dan haji atau pada manusia.
Jika masih terdapat hutang yang belum dijelaskan maka ia perlu diselesaikan segera oleh waris bagi memastikan si mati tidak lagi menanggung beban hutang tersebut.

Proses pembahagian pusaka yang dilakukan pada hari kematian perlu diaplikasikan oleh orang Melayu atas dua faktor kerana pada hari itulah majoriti ahli waris akan berkumpul di rumah untuk majlis kenduri tahlil.

Kesempatan itu perlu diambil untuk berbincang berkaitan harta pusaka si mati dan yang keduanya, oleh kerana kematian itu masih baru maka elemen kesedihan lazimnya akan meminimumkan pertelingkahan dalam pembahagian pusaka.

Kedua, terdapat persepsi di kalangan orang Melayu bahawa oleh kerana telah terdapatnya hukum faraid maka tidaklah lagi perlu untuk merancang pewarisan harta. Perlu diingat walaupun pembahagian harta berdasarkan faraid, masih perlu melalui proses-proses yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil.

Permohonan pembahagian pusaka ini memerlukan prosedur tertentu seperti pelantikan Pentadbir sebelum harta pusaka boleh dibahagi-bahagikan. Justeru ramai di kalangan orang Melayu terlepas pandang dengan tidak melantik Pentadbir Pusaka mereka semasa hidup. Proses pelantikan pentadbir yang dibuat dalam wasiat sebenarnya sudah lama dipraktiskan oleh orang bukan Melayu di negara kita menyebabkan harta pusaka mereka tidak dibekukan untuk tempoh waktu yang lama.

Kaedah

Dalam keluarga Melayu terdapat banyak kes di mana anak-anak berebut untuk menjadi Pentadbir Pusaka dengan anggapan bahawa pentadbir akan dapat menentukan kaedah pembahagian harta pusaka atau mendapat bahagian yang lebih.

Ada pula kes di mana kesemua anak enggan menjadi pentadbir harta puska kerana tidak mahu melalui kerumitan dalam proses permohonan pusaka tersebut. Kesannya, harta pusaka si mati akan dibekukan untuk tempoh yang lama sedangkan ada ahli waris yang menikmati hasil pusaka si mati tanpa menyedari ia adalah hak orang lain.

Ketiga, tidak dinafikan bahawa kaedah perancangan pusaka seperti penulisan wasiat hibah dan amanah merupakan cerita baru bagi masyarakat kita. Telah tertanam dalam minda fikiran kita bahawa penulisan wasiat akan disamakan dengan hampirnya kematian.
Justeru apabila disebut wasiat, ramai yang merasa fobia kerana ada di kalangan kita mempunyai alasan ‘umur saya masih muda’ dan ‘budaya saya belum nak mati’.

Sindrom ini perlu dibuang jauh dari pemikiran kita memandangkan kematian adalah sesuatu yang pasti dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Ingatan Allah dalam ayat 78 Surah An Nisa perlu direnungkan: Di mana sahaja kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan kamu, walaupun di dalam kubu yang kukuh.

Ingatan ini sesungguhnya benar berlaku apabila kita melihat peristiwa dua orang sukarelawan Gunung Merapi Indonesia baru-baru ini yang mati rentung walaupun berjaya memasuki kubu bagi berselindung daripada lahar yang dimuntahkan oleh gunung berapi itu.
Justeru masyarakat perlu sentiasa insaf jangan sampai maut sudah di depan pintu baru kita ingin merancang harta kita.

Keempat, permasalahan pembahagian harta pusaka di bawah tanah-tanah Felda, Felcra dan tanah rancangan juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia kelihatannya menyumbang kepada masalah harta pusaka orang Melayu memandangkan tanah-tanah rancangan ini memang didominasi oleh orang Melayu.

Sudah tentulah hasrat murni kerajaan menyediakan tanah-tanah ini untuk orang Melayu bagi memastikan kesejahteraan hidup keluarga peneroka ini.

Malangnya terdapat sekatan-sekatan dalam Seksyen 15(1) Akta Kawasan Berkelompok 1960 yang membataskan penurunan hak milik tanah kelompok ini sama ada atas kematian atau pindah milik kepada lebih dari dua orang sahaja.

Ini seringkali mendatangkan keributan kepada ahli-ahli keluarga peneroka untuk menentukan siapakah yang layak untuk mewarisi hartanah tersebut. Ini diburukkan lagi dengan keadaan di mana terdapat peneroka yang telah pula berpoligami dan semasa hayatnya mengetepikan atau menceraikan terus isteri pertamanya. Rekod Seksyen Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian menunjukkan 40 peratus daripada tanah-tanah pusaka di bawah akta ini tidak dapat diselesaikan dengan sempurna. Kebanyakan dari kes yang diselesaikan pula hanya lebih bersifat sementara iaitu dengan melantik Pentadbir Harta sahaja. Kajian yang dibuat di Felda Lurah Bilut Pahang pada tahun 2002 menunjukkan daripada 616 orang peneroka, 322 telah meninggal dunia dan lebih 160 belum membuat permohonan pusaka.

Terdapat beberapa kaedah untuk mengatasi masalah ini antaranya ialah merancang pewarisan harta.
Bagi segelintir orang Melayu jalan mudah bagi menyimpulkan masalah harta pusaka dalam keluarga adalah dengan meletakkan kesalahan kepada hukum faraid. Perlakuan menyalahkan hukum pusaka Islam sebenarnya merupakan manifestasi kepada kurangnya ilmu orang Islam tentang kaedah penyediaan perancangan harta pusaka yang dibenarkan oleh syarak bagi melengkapkan hukum faraid.
Kesempurnaan agama Islam dapat diperjelaskan lagi dengan adanya kaedah pembahagian harta seperti Suratcara Hibah, Hadiah, Wasiat, Amanah, Wakaf, Nazar, Sedekah dan Harta Sepencarian.

Fakta yang selalu dimaklumkan kepada orang Islam adalah mereka tidak boleh berwasiat kepada ahli waris dan wasiat tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah harta. Tanpa menafikan fakta tersebut, kita sebenarnya masih boleh menyediakan wasiat yang berlandaskan hukum syarak dan ia dapat membantu orang Islam bagi memastikan prosedur-prosedur yang ditetapkan dalam Undang-Undang Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

Surat Wasiat berperanan untuk melancarkan proses mendapatkan Surat Kuasa Probet dari Mahkamah Tinggi. Wasiat selain daripada pesanan yang bernilai kepada ahli keluarga juga akan memperincikan jenis-jenis harta yang dimilikki dan tanggungan hutang seseorang.


Selain dari itu, elemen yang paling penting dalam wasiat adalah klausa pelantikan Pentadbir harta yang amanah dan penjagaan bagi anak-anak yang masih kecil berdasarkan kehendak si pembuat wasiat.
Selain itu, pindaan peruntukan Undang-Undang Pentadbiran Pusaka juga membantu menyelesaikan masalah wasiat tertunggak.

Dalam keadaan sekarang masalah harta pusaka orang Islam masih lagi berada di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil/Pejabat Pusaka Kecil. Bagaimanapun mereka masih perlu ke Mahkamah Syariah bagi proses pengambilan Sijil Faraid. Jelasnya, apabila berlaku kematian waris-waris bagi kepada si mati yang beragama Islam perlu pergi ke Mahkamah Sivil dan Syariah.

Langkah-langkah perlu dibuat bagi memudahkan proses pembahagian harta pusaka ini bagi orang Islam tanpa perlu menunggu perintah dari dua mahkamah yang berbeza. Ia boleh berlaku sama ada kesemua perintah harta pusaka orang Islam dipindahkan ke Mahkamah Syariah sepenuhnya ataupun sebagai pilihan Mahkamah Sivil sendiri boleh mempunyai bahagian khas yang membicarakan sepenuhnya permohonan harta pusaka orang Islam dan diberikan hak mengeluarkan Sijil Faraid tanpa perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah.

Walaupun langkah ini hanya boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, kita seharusnya terfikir jika harta pusaka orang bukan Islam dibicarakan pada satu mahkamah sahaja mengapa pula orang-orang Islam perlu hadir ke dwimahkamah untuk mendapatkan perintah yang sama.

Penulis berpendapat jika kita ingin memartabatkan Mahkamah Syariah kita harus memberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk memperoleh bidang kuasa bagi membicarakan kes-kes harta pusaka orang Islam. Sama ada sedar atau tidak, jika mahkamah syariah mempunyai lebih bidang kuasa maka akan lebih dimartabatkan mahkamah itu kelak.

Penubuhan Yayasan Keluarga juga perlu untuk memastikan urusan pembahagian harta pusaka berjalan lancar.

Bagi tanah-tanah orang Melayu yang mempunyai ahli waris yang ramai hingga menjadikan tidak praktikal untuk memasukkan kesemua nama waris di dalam satu geran adalah baik jika masyarakat kita dapat memulakan penubuhan Yayasan Keluarga. Yayasan ini ditubuhkan dengan objektif untuk menerima pemilikan semua harta-harta milik si mati yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada ahli waris si mati. Yayasan boleh ditubuhkan oleh seseorang semasa hayatnya dan harta-hartanya dipindahkan kepada nama Yayasan semasa pemilik harta itu masih hidup ataupun ditubuhkan oleh ahli-ahli waris selepas kematian seseorang.

Pemilikan atas nama yayasan akan mengelakkan nama di atas geran tanah didaftarkan atas nama ahli waris yang ramai. Yayasan Keluarga seumpama ini berfungsi untuk menjaga kebajikan dan pendidikan ahli-ahlinya melalui hasil yang diperoleh dari harta warisan dan dalam masa yang sama dapat memperuntukkan bahagian harta kepada arwah ibu dan bapa yang telah meninggal dunia untuk tujuan sedekah jariah atas nama arwah ibu dan bapa tadi. Alangkah baiknya jika pihak Felda atau Felcra dapat menggalakkan ahli waris peneroka yang tidak pasti untuk melantik dua pentadbir tadi, dapat mengguna pakai kaedah Yayasan Keluarga Peneroka untuk setiap peneroka bagi memastikan harta pusaka peneroka dapat diturun milik kepada hanya satu badan yang menjaga kepentingan seluruh ahli waris.

Orang Melayu masih lagi tertinggal dari segi ekuiti pemilikan harta di negara kita. Sudahlah begitu kita masih mendahului kaum lain dari segi pemilikan harta yang dibekukan. Sudah tiba masanya permasalahan harta pusaka umat Islam ditangani dengan lebih serius dan sempurna sebelum ia menjadi begitu terlewat.

Tegasnya, proses penyusunan penurunan harta yang sempurna bukan sahaja akan dapat menjaga kebajikan dan kemaslahatan ahli keluarga yang ditinggalkan bahkan dapat memastikan harta yang telah diusahakan dengan jerit perih semasa hidup tidak akan menjadi bahan pertelingkahan antara kaum kerabat.
Sumber : Utusan Malaysia  06/07/2006

No comments:

Post a Comment