Saturday, 23 June 2012

Kursus Motivasi dan Manasik Haji

alhamdulillah Allah memberi kelapangan waktu dan masa utk aku menghadirkan diri ke kursus motivasi dan manasik haji ...

walaupun dengan kehadiran anak2 menganggu sedikit konsentrasi terhadap apa yg dicakap oleh penceramah2 namun aku bersyukur padaMu Ya Allah anak2 tidak buat perangai....

salinan passport dan gambar juga sudah diberi kepada Sakateriat Haji...

Definisi Haji Tamattu’:

BERNIAT umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama (8 Zulhijah), jemaah akan berniat haji dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.

Cara mengerjakan Haji Tamattu’:

(1). MENGERJAKAN UMRAH
RUKUN UMRAH ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan umrah… jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak, maka tidak sah umrahnya.
Rukun Umrah itu ada lima perkara: Pertama – niat, kedua – tawaf, ketiga – saie, keempat – bercukur atau bergunting rambut dan kelima – tertib pada kesemua rukun.
Sebelum berniat ihram umrah, jemaah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat: “Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Ta’ala.”
Jemaah juga disunatkan memotong kuku, merapikan janggut, misai serta mencabut bulu-bulu ketiak dan ari-ari.
Selepas mandi sunat ihram, pakailah pakaian ihram dan disunatkan berwarna putih. Dirikan solat sunat ihram dua rakaat.

A. BERNIAT UMRAH (rukun)
Selepas solat sunat ihram, jemaah bolehlah berniat ihram umrah. Syarak memberi pilihan kepada jemaah sama ada hendak berniat ihram di Miqat atau sebelum Miqat iaitu di Zulhulaifah (kawasan Masjid Bir Ali) bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah dan di Qarn-al Manazil, bagi mereka yang memasuki Mekah dari tanah air.

Niat umrah ialah:

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”
Para jemaah disunatkan memperbanyakkan ucapan talbiah setelah berniat ihram umrah. Ucapan talbiah ini diulang-ulang dan tempoh berakhirnya talbiah apabila jemaah memulakan tawaf.
01122009900
SUASANA JEMAAH HAJI DI DATARAN KAABAH.
B. TAWAF (rukun)
Tawaf bermaksud, mengelilingi Kaabah mengikut syarat-syaratnya. Tawaf adalah rukun umrah yang kedua selepas niat.
Lafaz niat tawaf umrah ialah: “Ya Allah, aku berniat melakukan tawaf Baitullahil Haram tujuh kali keliling tawaf umrah kerana Allah Ta’ala, maka permudahkanlah bagiku dan terimalah amalan daripadaku.”
Di antara syarat-syarat sah tawaf ialah:
  • Dimulakan dari penjuru Hajarulaswad dan berakhir di tempat yang sama.
  • Berjalan ke hadapan dan bahu kiri sentiasa mengiring ke Kaabah.
  • Cukup tujuh pusingan dengan yakin.
  • Suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
  • Menutup aurat.
  • Dilakukan di dalam Masjidilharam.
  • Mengekalkan niat tawaf.
Di antara sunat-sunat tawaf ialah:
  • Berjalan kaki, berittiba’, berlari-lari anak (ramal) pada tiga pusingan pertama dan berturut-turut tujuh pusingan tawaf.
Berhubung dengan bacaan doa, tidak ada bacaan yang khusus. Berzikir pun boleh.
Apabila selesai ibadat tawaf, jemaah boleh solat sunat tawaf sama ada di makam Ibrahim, Multazam, Hijir Ismail atau dimana-mana di dalam Masjidilharam.
01122009914
SUASANA JEMAAH HAJI DI KAWASAN SAIE DI DALAM MASJIDILHARAM.
C. SAIE (rukun)
Saie bermaksud berulang-alik (tujuh kali) di antara Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Dilaksanakan sejurus selepas mengerjakan tawaf.
Saie dilakukan di Masaa’ (tempat saie).
Di antara syarat-syarat Saie ialah:
  • Setelah sempurna tawaf.
  • Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
  • Cukup tujuh pusingan dengan yakin.
  • Melakukannya di tempat yang termaklum dan mengekalkan niat saie.
Lafaz niat saie umrah ialah: “Ya Allah, ya Tuhanku, sahaja aku saie di antara Safa dan Marwah tujuh kali saie umrah kerana Allah Ta’ala.”
Di antara sunat-sunat dalam ibadat saie ialah:
  • Naik ke hujung batu-batu bukit (yang kini sudah diratakan), dilakukan saie berturut-turut dan berlari-lari anak di antara dua dua tiang lampu hijau.
D. BERCUKUR (bagi lelaki) ATAU BERGUNTING RAMBUT BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN (rukun)
Untuk membebaskan diri daripada larangan ihram, jemaah hendaklah bertahallul. Bagi tujuan tahallul umrah, diwajibkan mengunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai. Sunat dilakukan di Bukit Marwah yang afdalnya bagi lelaki bercukur dan bagi wanita bergunting rambut.
E. TERTIB (rukun)
Tertib pada ibadat umrah ialah tertib dalam melaksanakan semua rukun, iaitu melaksanakan satu persatu mengikut susunan.
Sementara menanti Hari Wukuf, jemaah digalakkan untuk mengerjakan umrah sunat, mengikut kemampuan masing-masing.
26112009730 26112009772
SUASANA JEMAAH HAJI PADA HARI WUKUF DI ARAFAH.

(2). MENGERJAKAN HAJI
PADA 8 Zulhijah yang disebut juga Hari Tarwiyah, jemaah akan berangkat ke Arafah. Sebelum bertolak ke Arafah, jemaah diingatkan supaya melakukan perkara-perkara sunat sebelum berniat ihram haji, iaitu seperti mandi sunat ihram dan solat sunat ihram.
A. NIAT IHRAM HAJI (rukun)
Jemaah hendaklah berniat ihram haji. Ia boleh dilakukan dimana-mana di Kota Mekah, yang afdalnya berniat ihram di pintu gerbang hotel penginapan.
Niat di dalam hati: “Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”
B. WUKUF (rukun)
Pada 9 Zulhijah, setelah gelincir matahari (masuk waktu zuhur), maka masuklah waktu wukuf. Berakhirnya waktu wukuf setelah terbit fajar subuh, pada 10 Zulhijah.
Wukuf bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dan dalam sebarang keadaan. Yang afdalnya berwukuf sebahagian daripada siang hari 9 Zulhijah dan sebahagian daripada malam 10 Zulhijah.
Di antara syarat sah wukuf ialah:
  • Telah berihram dengan niat haji.
  • Seorang ahli ibadat (tidak gila, tidak mabuk dan tidak hilang akal sepanjang masa).
  • Berada di bumi Arafah walau seketika, dalam waktu wukuf.
Amalan-amalan sunat seperti bertalbiah, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan solat-solat sunat.
27112009808 27112009807
SUASANA JEMAAH HAJI MABIT (BERMALAM DI MUZDALIFAH TAHUN LALU.
C. MABIT (bermalam) DI MUZDALIFAH (wajib)
Pada kebiasaannya selepas solat Isyak, jemaah akan bertolak secara berperingkat-peringkat dari Arafah menuju ke Muzdalifah untuk bermabit.
Waktu mabit bermula dari selepas separuh malam 10 Zulhijah. Berada seketika pada masa tersebut dikira telah memadai dan tertunailah kewajipan bermabit di Muzdalifah
Yang afdalnya berada di Muzdalifah sepanjang malam hingga terbit fajar.
Disunatkan mengutip tujuh biji anak batu untuk melontar di Jamrah Kubra, bagi tujuan menghasilkan Tahallul Awwal.
Sebanyak 63 biji batu lagi untuk melontar di tiga jamrah pada hari-hari Tasriq (11,12, dan 13 zulhijah) bolehlah dikutip di Mina.
28112009838 30112009891
JEMAAH HAJI BERBARIS UNTUK PERGI MELONTAR JAMRAH DI MINA.
D. MELONTAR JAMRAH KUBRA (wajib)
Masuk waktu melontar Jamrah Kubra, adalah bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah dan berakhirnya waktu melontar adalah sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijah.
E. BERCUKUR / BERGUNTING RAMBUT (rukun)
Selepas melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada pagi 10 Zulhijah (Hari Nahar), kemudian bercukur atau bergunting rambut di kepala, sekurang-kurangnya tiga helai, maka terlaksanalah Tahallul Awwal (melakukan dua daripada tiga perkara). Tiga perkara yang dimaksudkan ialah: Pertama – melontar di Jamrah Kubra, kedua – bercukur atau bergunting rambut dan ketiga – tawaf dan saie.
F. MABIT (bermalam) DI MINA (wajib)
Mabit di Mina bermaksud bermalam di Mina lebih daripada separuh malam pada 11,12 dan 13 Zulhijah.
G. MELONTAR KETIGA-TIGA JAMRAH (wajib)
Melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Sughra, Wusta dan Kubra (dahulu dikenali Aqaba) pada hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijah) adalah wajib haji. Sekiranya uzur syarie, boleh mewakilkan kepada orang lain dengan syarat:
  • Uzur yang tiada harapan sembuh.
  • Orang yang menerima wakil, telah sempurna melontar ketiga-tiga jamrah bagi dirinya pada hari itu.
  • Pulang ke Mekah pada 13 Zulhijah dinamakan Nafar Thani setelah memenuhi syarat-syarat berikut:
  • Telah sempurna bermalam selama tiga malam berturut-turut pada 11, 12, dan 13 Zulhijah.
  • Telah melontar ketiga-tiga jamrah (Sughra, Wusta dan Kubra) dengan sempurna (63 biji batu) pada 11, 12, dan 13 Zulhijah.
H. TAWAF (rukun)
Cara mengerjakan tawaf haji, sama seperti mengerjakan tawaf umrah.
Bagi mereka yang akan pulang dengan penerbangan awal, khususnya wanita yang dikhuatiri akan didatangi haid, hendaklah bersegera mengerjakan tawaf dan saie.
Kaedah tertib pada kebanyakan rukun adalah sesuai bagi tujuan merealisasikan hasrat tersebut.
01122009909
SUASANA DI KAWASAN SAIE DI DALAM MASJIDILHARAM TAHUN LALU.
I. SAIE (rukun)
Apabila telah selesai tawaf haji, hendaklah mengerjakan saie haji. Caranya juga adalah sama seperti dengan saie umrah.
Dengan selesainya ibadat saie bermakna terhasillah Tahallul Thani, kerana telah melakukan ketiga-tiga perkara iaitu:
  • Melontar Jamrah Kubra.
  • Bercukur/bergunting.
  • Tawaf dan saie.
J. TERTIB PADA KEBANYAKKAN RUKUN
Bermaksud rukun-rukun Haji Tamattu’ hendaklah dilakukan mengikut tertib atau ikut susunan cara mengerjakannya:
Pertamaniat, kedua wukuf, ketigabercukur atau bergunting rambut, keempattawaf haji dan kelimasaie haji.
Ataupun: Pertamaniat, keduawukuf, ketigatawaf haji, keempatsaie haji dan kelimabercukur atau bergunting rambut.
CARA (1) CARA (2)
1. Niat
2. Wukuf
3.Bercukur atau bergunting
4. Tawaf Haji
5. Saie Haji
1. Niat
2. Wukuf
3. Tawaf Haji
4. Saie Haji
5. Bercukur atau Bergunting
Dengan ini, selesailah cara-cara mengerjakan haji mengikut kaedah Tamattu’. Iaitu mengerjakan ibadat umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama.
Semoga para jemaah mendapat kemudahan bantuan Allah bagi menyempurnakan ibadat haji yang mabrur, amin.
IMG_0562
GAMBAR HIASAN: JEMAAH KELUAR DARI MASJID NABAWI, MADINA.

Tuesday, 12 June 2012

Perkembangan bayi anda semasa usia 7 bulan

Melonjak-lonjak

Sekarang bayi anda sudah mampu menyokong sebahagian daripada berat badannya dengan kakinya dan dia sudah boleh melonjak-lonjak. Malah, dia boleh duduk tanpa diampu dengan tangannya (dan dengan itu membebaskan tangannya untuk meneroka) di samping dapat mengalihkan badan semasa duduk untuk mencapai objek. Dia mungkin boleh juga naik ke posisi duduk dari posisi baring dengan menolak ke atas sambil mengampu dengan lengannya.

Belajar memegang

Kemahiran motor halus bayi anda juga akan berkembang. Pada usia ini, dia sudah boleh mengangkat barang dengan sebelah tangan dan dengan mudah memindahkan barang itu ke tangan yang lain. Dia juga boleh mengenggam kedua tangannya dan menghirup air dari cawan bertangkai dua (dengan bantuan anda). Anda juga akan sedar bahawa suasana rumah lebih riuh dari biasa sebab dia sudah tahu betapa seronoknya melentung-lentungkan objek.

Untuk menggalakkan aktiviti motor halus, letakkan alat mainan jauh sedikit dari capaian bayi anda dan lihat bagaimana dia cuba mendapatkannya. Jika dia menangis sebab tidak dapat mencapainya, berikan galakan kepadanya – tapi elakkan dari memberi alat mainan itu. Sebenarnya, dia cuma melepaskan perasaan geram dan dalam sedikit masa akan menjadi lebih yakin dengan kebolehan fizikalnya jika anda tidak sentiasa membantunya sehingga semuanya menjadi terlalu mudah. Lazimnya, selepas mencuba beberapa kali, bayi akan berjaya menjangkau ke hadapan untuk mengambil mainan itu dan terus menegakkan badannya semula. Ini sudah tentu akan memberi galakan kepadanya dan dia akan mula menggoyangkan badannya ke hadapan dan ke belakang diampu oleh tangan dan kakinya dan dia juga mungkin akan merangkak atau berguling-guling untuk bergerak sampai mengelilingi bilik. Bantulah penerokaan dan pergerakan bayi anda dengan memastikan pakaiannya longgar dan selesa.

Tumbuh gigi

Pada masa ini bayi anda mula tumbuh gigi (ini berlaku secara amnya pada usia lima atau enam bulan, walaupun ia boleh bermula seawal tiga bulan atau selewat 12 bulan); dan pada masa ini anda akan dapat melihat dua gigi insisor tengah keluar di atas, diikuti dengan dua gigi insisor sisian. Jangan panik jika terdapat ruang di antara gigi-gigi bayi; ini disebabkan, kadangkala gigi menembusi gusi melalui sudut-sudut yang ganjil, dan apa yang berlaku ialah ruang-ruang itu akan hilang apabila kesemua 20 batang gigi bayi sudah menembusi keluar. Semasa bayi anda mula tumbuh gigi, anda akan melihat bahawa lelehan air liur bayi adalah berlebihan dan bayi juga akan membuat pelbagai bunyi-bunyian untuk menyesuaikan diri dengan benda-benda baru yang asing itu dalam mulutnya.

Menguji autoriti anda

Menjelang waktu ini, anda mungkin telah cuba memberitahu bayi anda bahawa telefon itu bukanlah satu alat mainan. Atau mungkin di rumah anda, anda sering mengingatkan bayi bahawa mainan kelentungnya tidak boleh dicampakkan ke muka anda. Sebenarnya, pada usia ini, bayi anda sedang menguji autoriti anda, dan dia akan melakukan semua ini tanpa mematuhi arahan atau rayuan anda. Sekiranya bayi anda membantah, ini tidak bermakna dia enggan patuh atau dia berdegil – malah dia menggunakan sifat ingin tahunya dan juga telah tidak mengingati larangan anda sebab dia tidak boleh mengingati sesuatu itu untuk lebih daripada beberapa saat. Taktik terbaik ialah bagi anda menyatakan ’tidak boleh’ dan kemudian mengalihkan perhatiannya.

Perasaan tak senang ketika berpisah

Jika bayi anda sudah memperlihatkan yang dia resah apabila berjauhan dengan anda pada siang hari, sudah tentu dia akan bertambah risau pada waktu malam. Sekiranya dia terjaga tengah malam, walaupun sebentar saja, dan jika dia tahu anda ada berdekatannya, dia akan merengek untuk mendapatkan perhatian. Anda akan berasa serba salah sama ada hendak mendukung dan membawanya tidur bersama anda atau anda harus menghiraukan nasihat orang bahawa ini akan membuatkan bayi anda terlalu manja. Jangan risau: tidak menjadi masalah jika anda kadang-kala mengikut kehendak bayi anda dan membawanya tidur bersama anda – tetapi janganlah selalu sangat. Apabila kebimbangan berpisah sudah tiada, anda boleh mengajarnya semula untuk tidur dengan sendiri. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk tidur bersama di katil keluarga sudah tentu anda akan sentiasa berdekatan dengan bayi anda pada waktu malam.

Keengganan bayi anda untuk berpisah dengan anda memang menggembirakan tetapi pada masa yang sama, boleh membuntukan akal juga. Dalam hal ini, amalan yang baik ialah bagi anda mengisikan bakul dengan alat-alat mainannya dan membawanya – bersama-sama bayi anda – dari bilik ke bilik apabila anda hendak menghabiskan kerja rumah; dengan cara ini anda boleh sama-sama berseronok dengan bayi anda.

Kemahiran mengenal

Sekarang bayi anda sudah boleh bermain sorok-sorok dan tahu bahawa patung dalam mainan "jack-in-the box" akan timbul apabila lagu tamat. Bayi juga boleh mengecam nada suara dan perubahan dalam nada suara dan mungkin akan menangis jika anda bercakap kuat.

Memahami bagaimana objek berhubung kait

Bayi anda mula memahami bagaimana objek berhubung kait antara satu sama lain dalam ruang tiga dimensi. Dia akan dapat menyusun alat mainan, seperti mengasingkan item mengikut saiz, contohnya blok. Dan jika dia merenung bayangnya di cermin tingkap dan anda tiba-tiba muncul di belakangnya, dia akan berpaling dan mencari anda dengan betul dan tidak akan menyangkakan yang reflekisi anda dalam cermin itu adalah anda.

Jika anda mendapati bahawa mainan jenis sekejap nampak, sekejap tak nampak (baa-cak) amat menyeronokkan bagi bayi anda, ini adalah sebab dia sudah mula memahami bahawa objek adalah sesuatu yang kekal dan akan tertarik kepada permainan di mana orang atau benda muncul dan hilang. Malah, salah satu cara termudah untuk melekakan bayi yang berusia tujuh bulan ialah dengan menyorokkan objek di bawah selimut untuk dia mencarinya.

Patung dan permainan yang menyeronokkan

Bayi anda seronok bermain mainan yang sama berulang-ulang kali sebab dia suka perkara yang boleh diduga. Selain main sorok-sorok (rujuk di atas), cuba masukkan juga mainan klasik seperti lari-lari keliling taman dan tepuk-kuih tepuk-kuih (patta-cake patta-cake) ke dalam senarai mainan anda.

Pada usia ini, bayi-bayi juga cenderung kepada patung mainan lembut sama ada kecil atau besar. Selalunya, satu daripada patung mainan kepunyaan bayi akan menjadi kegemarannya dan merupakan objek sekuriti baginya sehingga mainan itu bergelumang air liur dan dibawanya bersama-sama ke mana-mana sahaja. Jika anda membeli mainan lembut yang baru, carilah yang empuk, dijahit dengan kemas dan boleh dibasuh. Alat mainan lain yang sesuai termasuklah bola, silinder-silinder dalam sarang, alat mainan pop-naik dan anak patung besar.

Jika bayi anda mempunyai alat mainan kegemarannya, anda akan mendapati bahawa pepatah "semudah mengambil gula-gula daripada bayi" tidak benar lagi. Walaupun dahulu agak mudah untuk mengambil barang dari genggamannya, kini anda mendapati bayi akan membantah dengan kuat semasa anda mengambil alat mainan dan apa jua barang daripadanya.

Adakah bayi saya membesar dengan normal?

Ingatlah bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap-tahap perkembangan fizikal yang utama mengikut masanya sendiri. Kemahiran-kemahiran yang ditetapkan merupakan panduan yang menunjukkan potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda - jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda akan mendapati yang dia akan lambat untuk mencapai perkembangan tertentu tidak seperti kanak-kanak lain. Jangan risau, kebanyakan doktor akan memeriksa pembesaran bayi pramatang dari waktu yang dia sepatutnya dilahirkan dan menilai kemahiran yang dicapainya sewajarnya.


sumber- baby center


www.babycenter.com.my

KEBAIKAN KURMA, KISMIS DAN MADU KETIKA MENGANDUNG DAN BERSALIN

KEBAIKAN KURMA KETIKA MENGANDUNG DAN BERSALIN

Adalah amat baik sekali jika puan mengamalkan memakan buah kurma semasa mengandung kerana ini akan memudahkan bersalin nanti. Semasa bayi dilahirkan, buah kurma juga dicalitkan sedikit di lelangit bayi.

Ingat tak kisah dimana Maryam hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS.

Buah kurma tidak mengandungi gula yang membahayakan malah ia merupakan makanan Rasulullah SAW.

Puan janganlah risau kerana takut diserang kencing manis. Apa yang harus puan buat, makanan-makanan manis yang lain puan jauhkanlah.

Buah kurma tidak membahayakan kesihatan kerana ianya mengandungi banyak khasiat.

1) KURMA

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sihat".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Berilah makanan kurma pada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan, sebab yang demikian itu akan menyebabkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertaqwa (bersih hatinya)".

Abu Abdillah berkata: "Buah kurma adalah salah satu buah yang berasal dari syurga dan dapat mensirnakan pengaruh sihir".

Abu Abdillah berkata: "Orang yang memakan 7 buah kurma yang baik sebelum sarapan, maka pada hari itu dia tidak akan tertimpa racun, sihir dan tidak diganggu syaitan".

Imam Ja'far Ash-Shadiq berkata: "Barangsiapa memakan 7 buah kurma yang baik, maka cacing-cacing yang ada di perutnya akan mati".

2) KISMIS

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (empedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih".

Imam Ali berkata: "Barangsiapa memakan 21 biji kismis merah, maka dia tidak akan melihat pada jasadnya suatu yang tidak disenangi".

Imam Ali berkata: "Kismis dapat menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas dan memulihkan kesihatan jiwa".

Pada riwayat lain dari Abi Ja'far At-Thusi disebutkan bahawa kismis dapat menghilangkan lendir dan menyihatkan jiwa".

3) MADU

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Allah SWT telah meletakan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi".

Dari Imam Ali, beliau berkata: "Madu adalah ubat dari segala penyakit, tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Rasul SAW sangat menyenangi madu".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Biasakanlah dirimu memperoleh dua ubat iaitu meminum madu dan membaca Al-Quran". 

sharing info from http://fesyenbaru.blogspot.com/