Wednesday 15 February 2012

Haiwan Peliharaan Pertama Anak2




hehehe...14 feb yg lalu...Qatar cuti sempena Qatar Sports Day.....hari bersukan seluruh negara....
Rasgas tempat hubby keje pun wat Sports Day kat Aspire Park
hubby jadi volunteer so...banyak t-shirt dan topi kami amik
sape2 nak....mai datang umah..

sempena tarikh tu jugak...aku telah membelikan sepasang kura-kura
yang comel utk anak-anak ku Harith n Hanim
harapan aku...mereka dapat jaga kura-kura itu seperti jaga diri mereka
sendiri...
hari pertama ....diorang memang excited...kelakar aku tgok...
asik nak angkat ke hulu dan ke hilir jer...sampai my hubby kata...
kalo tumpah air...ayah buang selalu...hehehhe
hari kedua...aku ajar cara membersihkan tempat tinggal kura2 tu
dan cara memberi makan iaitu...6 biji saje..dan sehari sekali..
alhamdulillah ari pertama dan kedua berjalan dgn lancar...
harap2 kura-kura tu akan membesar dgn sihat walafiat..
hahahahhaha

Monday 13 February 2012

Vespa Kenangan

Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan..


"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.

Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin bersihkan badannya tiap-tiap petang selepas pulang dari sekolah. Diusapnya badan Vespa itu dengan penuh rasa kasih. Cuma dia tak tahu membawanya saja.

"Amin teringin nak bawa motor tu la bu, boleh tak?" Rengek Amin kepada ibunya sambil merenung ke arah Vespa yang tersadai di bawah rumah, tepi tangga rumah kampung itu.

"Amin pandai ke nak bawa? Motor tu kan berat. Badan Amin tu kan kecik je. Silap-silap motor tu ke parit, Amin ke hospital. Amin tak sayang ibu lagi ke. Nak tengok ibu duduk kat hospital tu siang malam jaga Amin? Nak bayar duit biaya hospital tu pun ibu tak mampu." Sudah acap kali Amin suarakan hasrat ini kepada Mak Jah, namun jawapan ini jugalah yang Amin dapat.

Sengaja Mak Jah jawab begitu sebab dia amat sayang akan Amin, satu-satunya anak yang dia rasakan sangat baik untuknya. Syukur. Dia rasakan amat beruntung ada anak seperti Amin, tak macam anak remaja orang lain yang degil, liar, saban hari buat onar dan memeningkan kepala. Amin lain. Memang berbeza dengan remaja seusianya, walaupun baru tingkatan tiga, tingkahnya matang dan tak pernah buat hati kecil Mak Jah terluka. Dia juga tak mahu kerana Vespa itu Amin menjadi seperti ayahnya.


Kenangan lalu peristiwa yang meragut nyawa Pak Latiff tidak pernah kering dari memori Mak Jah, apatah lagi untuk terus diluputkan begitu sahaja memori itu. Kerna Vespa itulah Pak Latiff terbaring tak bernyawa, bukan kerana kemalangan atau terjatuh dari motor, tetapi kerana orang yang iri hati terhadap Pak Latiff. Pak Latiff masa itu bergelar jaguh Vespa Pekan Kampung Seri Menanti. Siapa yang tak kenal dengan Pak Latiff, sudah bertahun memegang gelaran juara pertandingan Vespa Klasik Nusantara yang menjadi gilaan pemuja-pemuja motosikal klasik itu seluruh Malaysia. Sehinggakan ada manusia yang gelap hatinya, dengki sanggup membunuh Pak Latiff di suatu malam tika Pak Latiff pulang dari surau seusai mengerjakan solat terawikh berjemaah. Pak Latiff ditemui mati tertikam dek buluh runcing, malah Vespanya juga turut menjadi mangsa dicampakkan ke hujung tebing parit. Dan keesokan harinya, barulah ada orang kampung menemui mayat Pak Latiff, sungguh ngilu, pilu, dan sedih bila terkenang arwah yang pergi dalam keadaan yang sebegitu, terbiar semalaman di tepi jalan yang sejuk gelap gelita. Mak Jah tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya kerana faham Pak Latiff akan selalu berada di surau itu untuk berqiamullail, lebih-lebih lagi waktu itu sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang di sebalik peristiwa itu dan akhirnya kes sudahpun ditutup oleh pihak berkuasa. Ada juga mulut gatal orang kampung yang mengatakan, Pak Latiff sudah tidak waras menikam dirinya sendiri, tak kurang juga yang berkata Pak Latiff terkena buatan orang melalui ilmu hitam, dan macam-macam lagi. Namun Mak Jah dan Amin percaya bahawa itu sudah ketentuan yang Maha Esa. Sudah tiba masa Pak Latiff pergi dan jika itu cara dia diambil oleh Tuhan, Mak Jah redha. Tidak putus doa Mak Jah dan Amin untuk arwah, disamping berdoa agar orang yang berbuat jahat terhadap arwah diberi hidayah dan mendapat balasan yang setimpalnya, bukan di dunia, di akhirat sana pasti tidak terlepas.

Kini, Mak Jah dapat merasakan yang Amin mahu mengikut jejak ayahnya menjadi juara dan dengan niat ingin menuntut bela kematian ayahnya itu. Namun, naluri keibuannya cepat-cepat menangkap hasrat Amin itu dan cuba seboleh mungkin untuk mengekang.

AYAH
WALAU KAU PERGI TERLEBIH DULU
KETAHUILAH
KASIH ANAKMU TAK PERNAH PUTUS KUNJUNG
DALAM DOA KU UKIR RASA RINDU
DALAM MIMPI KITA BERTEMU
KAULAH WIRA, KAULAH INSPIRASI...
BONDA
DI TELAPAK KAKI MU SYURGA MEMBENTANG
DALAM DOAMU TERKABULLAH KASIH SAYANG
DALAM KATAMU ADA HIKMAH
DAN SENYUM MU TIDAK MENGENAL SENJA
ENGKAULAH PELITA DIKALA JIWA GELAP GELITA...
JANJI ANAKMU
TAKKAN MELUPAKAN
WALAU HINGGA AKHIR NANTI.
"Kenapa orang tu sanggup bunuh ayah Amin ya bu? Ayah Amin tu baik, solat tak tinggal, dan kalau dia jadi juara sekalipun, apa salahnya kan, ayah memang berhak dapat gelaran tu, vespa ayah Amin tu istimewa, tak macam orang lain punya." Luahan Amin kepada ibunya yang sedang tekun menyiapkan tempahan jahitannya itu, seolah-olah berkata sendiri namun sengaja dikuatkan suara.

Dari tadi dia hanya duduk saja ditangga dengan baju sekolahnya tidak lagi berbuka. Itu sudah menjadi rutin harian Amin selepas pulang dari sekolah, paling kurang sepuluh ke tiga puluh minit pasti Amin duduk di situ memikirkan dan mengenangkan akan peristiwa yang menimpa ayahnya dua tahun lalu.

"Amin... ALLAH itu Maha Mengetahui dan Penyayang. Tidak DIA merancang dan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada sebab dan manfaatnya. Kita sebagai hambanya perlu terima segala takdir yang telah tersurat. Redha dan berdoa agar ayah Amin selamat di sana. Ingat pesan ibu, doa anak yang soleh itulah yang menjadi cahaya penerang untuk ayah Amin di alam sana, dan moga dia ditempatkan dalam golongan yang mendapat syurga Allah." Nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya itu. Dia jikalau boleh tidak mahu Amin terus berfikir yang bukan-bukan, apatah lagi jika ada niat di hati anaknya itu untuk membalas dendam.

6 cara mudah buat anak rasa disayangi

Anak yang enggan solat, keras kepala, tidak mendengar kata dan gemar bergaul bebas – ini hanya sekadar beberapa masalah yang dihadapi ibu bapa. Tahukah anda, salah satu cara paling efektif untuk membuatkan anak lembut hati dan mudah mendengar kata ialah dengan membuatkan dia merasa disayangi?

Sebenarnya membuatkan anak merasa disayangi tidak memerlukan wang ringgit atau perbelanjaan yang banyak. Tidak perlulah anda membelikan hadiah yang mahal atau percutian yang menelan perbelanjaan yang besar. Malah, sekiranya kita membuat anak kita berasa tidak istimewa sepanjang tahun, barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang dibuat di hotel lima bintang tidak akan dapat mengubah perasaan yang dirasai anak kita itu. Apa yang penting dalam jangka masa panjang adalah perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.

Ada enam cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membuatkan anak merasa disayangi:

1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih

Anak-anak perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan kepadanya.

2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya. Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat. Katakan yang anda merinduinya.

3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya

Ibubapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara baik yang mereka lakukan.

Anak-anak akan berasa kurang bersemangat dan mungkin akan cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya untuk menarik perhatian ibubapa. Apabila memuji anak anda, berikanlah kata-kata pujian yang khusus dan jelas serta ikhlas kepada mereka. Sebagai contoh, "Mama gembira sebab Lan mahu berkongsi biskut coklat cip ini dengan nenek" atau "Rajin anak Papa menyimpan semula buku-buku itu setelah dibaca" atau "Papa seronok tengok Liza melukis dan bermain dengan adik."

4. Dengarkan kata-katanya

Apabila anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap. Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti "Jadi Faris ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?" Mendengar tidak bermakna anda mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di atas kesejahteraannya.

Anak anda akan berfikir, "Mama/Papa mengambil berat terhadap diri saya, jadi saya tak perlu bimbang." Anak anda perlukan keselesaan emosi seperti ini. Kadangkala anak anda perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini berlaku kerana mungkin dia merasakan yang dia telah melakukan satu kesalahan dan kesalahan ini membuatkan dia berasa resah gelisah. Sekiranya ini terjadi, kawal diri daripada memarahinya. Sebaliknya, pujilah dia kerana bersikap jujur dan berani berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang rendah kepadanya hanya kerana dia telah melakukan kesalahan. Ini bermakna, walaupun dia telah melakukan kesilapan, anda masih menganggapnya istimewa.

5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya

Kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh orang lain.

Apa yang anak anda mahu lakukan bersama anda? Menanam pokok bawang untuk projek Sainsnya ataupun membaca sebuah buku cerita bersama-sama atau membaca satu kisah lucu dan ketawa bersama-sama? Mungkin juga membuat dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam buku origami yang anda baru belikan untuknya atau membuat kentang putar untuk makan malam nanti.

Apa pun yang anda lakukan bersamanya, biarlah dia yang memilih aktivitinya dan jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya. Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang terlebih dahulu tetapi boleh juga dilakukan secara spontan. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda berdua.

6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya

Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan.   Sebagai contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, "Yang ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas. Warnanya pun lebih terang."

Elakkan daripada menjawab secara acuh tak acuh, "Papa tengok sama saja kedua-dua lukisan tu." Ataupun sekiranya anda sedang melihat anak belasan tahun anda bermain badminton, anda boleh memujinya dengan berkata, "Pukulan Ina sekarang semakin baik dan lebih bertenaga."

Ataupun sekiranya dia meminta pendapat anda mengenai karangan yang sedang ditulisnya, anda boleh berkata, "Bahagian pengenalan karangan yang Zul tulis tu memang bagus." Anda mungkin berfikir yang kata-kata pujian akan membuatkan diri anak terlampau berpuas hati dengan dirinya sendiri dan tidak lagi mahu berusaha. Tetapi tiada apa yang lebih memotivasikan seorang anak selain daripada kata-kata perangsang daripada ibubapanya.  

Tidak kira dalam keadaan apa pun atau apa pun yang sedang dilakukan oleh anak anda, carilah perkara yang elok dan betul dan berikanlah puji-pujian. Anak anda akan menghargai kata-kata pujian itu dan akan berasa gembira.